^Back To Top
foto1 foto2 foto3 foto4 foto5

pengerusidaud

Y.B. Dato' Haji Mohamad Daud Bin Haji Mohd Yusoff 
DPMP.,PMP.,AMP.,PPT. 

Pengerusi Yayasan Perak

 

Sejak tiga dekad yang lalu, Yayasan Perak telah menempa pelbagai kejayaan dalam usaha membantu ke arah memajukan bidang pendidikan dan latihan, sukan dan rekreasi, seni budaya dan pembangunan masyarakat di negeri ini khasnya dan negara amnya. Sekali-sekala terdengar suara-suara pegawai kanan kerajaan atau swasta yang mengingati bahawa mereka adalah anak ‘asrama Perak’ tajaan Yayasan Perak.

Namun kini, Yayasan Perak memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang pelajaran dan pendidikan. Seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadi Negeri Perak maju menjelang 2020, Yayasan Perak berperanan membangunkan modal insan berkualiti dengan memperluaskan aktiviti pendidikan di peringkat persekolahan.

Sejak penubuhannya, Yayasan Perak telah membiayai biasiswa atau pinjaman pelajaran berjumlah RM30.4 juta untuk menaja seramai 5,133 orang pelajar dalam pelbagai peringkat pengajian, kursus di institusi pengajian awam dan swasta sama ada di dalam atau di luar negara. Bagi menumpukan perhatian terhadap program pendidikan pelajar sekolah rendah dan menengah, maka dengan itu mulai tahun 2007 Yayasan Perak telah membekukan skim pinjaman pelajaran di semua peringkat pengajian.

Mulai tahun 2009, Yayasan Perak telah dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan Negeri untuk menguruskan pemberian bantuan Dermasiswa Pendidikan Negeri Perak. Ia bertujuan untuk membantu dan meringan beban kewangan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran di IPTA di peringkat pengajian Sijil / Matrikulasi, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

Pada tahun 2010 pula, Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Perak telah mewujudkan Tabung Pendidikan Negeri Perak. Ia bertujuan memberi bantuan RM200 sebagai simpanan permulaan kepada bayi yang dilahirkan di Negeri Perak mulai tahun 2010 menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Pada tahun 2000, Yayasan Perak telah melancarkan Program Kecemerlangan Pendidikan yang bertujuan membantu pelajar dari sekolah luar bandar yang berpotensi memberi tumpuan kepada 4 matapelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Aktiviti utama yang dijalankan adalah berbentuk tuisyen bagi para pelajar yang menduduki peperiksaan awam iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di seluruh daerah. Sebanyak RM1 juta diperuntukkan setiap tahun bagi menjayakan program ini.

Yayasan Perak turut mempunyai Program Tersohor Sekolah Angkat yang melibatkan 10 sekolah rendah dan 10 sekolah menengah. Selain itu, program Sekolah Rancangan Khas (RK) turut diperkenalkan bagi membantu murid cemerlang UPSR yang tidak mendapat tempat di Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Di samping itu, Yayasan Perak mempunyai beberapa program Galakan Pelajar seperti Dermasiswa Pendidikan, Skim Biasiswa Kecil, Skim Biasiswa Atlit dan Skim Galakan Tahfiz Al-Quran.

Melalui enakmennya, Yayasan Perak diberi kuasa untuk menceburi bidang perniagaan, perusahaan komersial, perindustrian, pelaburan saham dan aktiviti-aktiviti komersial lain yang dapat mendatangkan pendapatan untuk disalurkan kepada Tabung Kumpulanwang Kebajikan dan Pelajaran Yayasan Perak bagi melaksanakan aktiviti pendidikannya. Ia kini dilaksanakan dengan secara terkawal.

Dengan adanya laman web ini sesungguhnya akan dapat mendekatkan lagi organisasi Yayasan Perak secara global dengan sentuhan di hujung jari.

‘Selamat Melayari Laman Web Kami’


Copyright © 2013. yayasanperak.gov.my Rights Reserved.


Facebook