Pada 19 September 2019 (Khamis), telah berlangsungnya majlis penyerahan cek Pinjaman Tabung Usahawan Yayasan Perak kepada 43 orang penerima yang terdiri daripada usahawan yang datang dari seluruh negeri Perak. Kesemua usahawan ini berjaya menerima pinjaman setelah permohonan yang mereka lakukan berjaya diluluskan selepas melalui fasa penilaian. Majlis berkenaan berlangsung di Pusat Pembangunan Usahawan (PPU) di Bandar Meru Raya dan turut dihadiri oleh Pengurus Besar Yayasan Perak sendiri iaitu Tuan Haji Mohammad Yusoff Bin Abustan. Cek bernilai antara RM20 ribu hingga RM100 ribu telah diserahkan oleh Pengerusi Yayasan Perak iaitu Yang Berhormat Asmuni Awi selepas beliau selesai menyampaikan ucapan sekaligus merasmikan majlis penyerahan cek berkenaan. Rata-rata usahawan yang telah menerima pinjaman ini menyatakan rasa syukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yayasan Perak kerana telah memilih mereka. Mereka berhasrat akan memanfaatkan pinjaman ini sebaik mungkin dalam usaha melebarkan perniagaan mereka dan meluaskan pasaran produk masing-masing. Sebanyak RM5 juta telah diperuntukkan untuk program ini dan ianya masih dibuka untuk permohonan bagi mana-mana usahawan yang terlibat.